RSS

Tetaplah kamu di jalan Dakwah


Tsabat Memenangkan Dakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Tsabat bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran.
Ia merupakan benteng bagi seorang aktivis dakwah sehingga ia memiliki daya tahan dan pantang menyerah terhadap berbagai perkara yang merintanginya sehingga ia mendapatkan cita-citanya atau mati dalam keadaan mulia kerana tetap konsisten di jalanNya.

Dalam Majmu’atur Rasaail, Imam Hasan Al Banna menjelaskan bahwa yang dimaksudkan dengan tsabat adalah orang yang sentiasa bekerja dan berjuang di jalan dakwah yang amat panjang sehingga ia kembali kepada Allah swt dengan kemenangan, samada kemenangan di dunia ataupun mati syahid.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah swt. maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah janjinya”. (QS Al Ahzab : 23)

Sesungguhnya jalan dakwah yang kita lalui ini adalah jalan yang bukan mudah bahkan ianya adalah jalan yang :
  1. Jauh.
  2. Panjang.
  3. Penuh liku.
  4. Ditaburi dengan halangan dan rintangan, rayuan dan godaan.
Oleh kerana itu dakwah ini sangat memerlukan orang-orang yang memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tinggi nilainya iaitu orang-orang yang :
  1. Berjiwa ikhlas.
  2. Profesional dalam bekerja.
  3. Berjuang dan beramal.
  4. Tahan akan berbagai tekanan.
sehingga dengan modal itu mereka akan sampai pada harapan dan cita-citanya.

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan. Akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir yang memerlukan pertolongan dan orang-orang yang meminta-minta dan memerdekakan hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji dan orang-orang yang bersabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar imannya dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”. (QS Al Baqarah : 177)

Di samping itu, dakwah ini juga sentiasa menghadapi musuh-musuhnya di setiap masa dan zaman sesuai dengan keadaannya masing-masing. Tentulah musuh-musuh ini sangat tidak menginginkan dakwah ini tumbuh dan berkembang sehingga mereka berusaha untuk memangkas pertumbuhan dakwah atau mematikannya kerana dengan tumbuhnya dakwah, ianya akan bertentangan dengan kepentingan hidup mereka.

Oleh kerana itu, dakwah ini memerlukan pemikulnya yang berjiwa teguh menghadapi perjalanan yang panjang dan penuh liku-liku serta musuh-musuhnya. Merekalah orang-orang yang mempunyai ketahanan daya juang yang kukuh.

Kita boleh melihat keteguhan Rasulullah saw ketika baginda mendapatkan tawaran yang menggiurkan untuk meninggalkan dakwah Islam tentunya dengan imbalan kekuasaan, kekayaan atau wanita namun dengan tegar beliau bersifat tegas dan berkata dengan ungkapan penuh keyakinannya kepada Allah swt :

‘Demi Allah, wahai bapa saudaraku, seandainya mereka boleh meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan dakwah ini. Niscaya tidak akan aku tinggalkan urusan ini sehingga Allah swt memenangkan dakwah ini atau aku binasa kerananya’.

Demikian juga para sahabatnya ketika menghadapi ujian dan cubaan dakwah, mereka tidak pernah berkurang sedikit pun langkah dan jiwanya malah semakin mantap komitmen mereka pada jalan Islam ini.
Ka’ab bin Malik pernah ditawarkan oleh Raja Ghassan untuk menetap di wilayahnya dan mendapatkan kedudukan yang menggiurkan. Tapi semua itu ditolaknya kerana perkara itu justeru akan menimbulkan mudharat yang jauh lebih besar lagi.

Kita dapat juga saksikan peristiwa yang menimpa umat Islam pada masa Khalifah Al Mu’tashim Billah tentang fitnah dan ujian Khalqul Qur’an’. Imam Ahmad bin Hanbal sangat tegar menghadapi ujian tersebut dengan tegas ia menyatakan bahwa Al Qur’an adalah kalamullah, BUKAN makhluk sebagaimana yang didoktrin oleh Khalifah. Dengan tuduhan sesat dan menyesatkan kaum muslimin, Imam Ahmad bin Hanbal menerima penjara dan hukuman rotan. Dengan keteguhan beliaulah,  kaum muslimin dapat diselamatkan aqidah mereka dari kesesatan.

Begitu pula kita merasakan ketegaran Imam Hasan Al Banna dalam menghadapi tribulasi dakwahnya. Ia terus bersabar dan bertahan. Meskipun akhirnya ia pun menemui Rabbnya dengan tembakan senjata api.

Tidak lupa juga dengan Sayyid Qutb yang menerima hukuman mati dengan jiwa yang lapang lantaran aqidah dan menguatkan sikapnya berhadapan dengan tiang gantung. Beliau dengan yakin menyatakan kepada saudara perempuannya :

‘Duhai saudaraku, semoga kita boleh berjumpa di depan pintu syurga kelak’.

Namun dalam masa yang sama, tidak sedikit aktivis dakwah yang kendur daya tahannya.
Ada yang berguguran kerana tekanan material dan tergoda oleh rayuan harta benda. Setelah mendapatkan kenderaan mewah, rumah megah dan sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya ia membuatkan semangat dakwahnya luntur. Bahkan ia akhirnya sangat haus dan rakus pada harta benda duniawi yang fana itu.

Ada pula yang menurun daya juangnya kerana tekanan keluarga. Keluarganya menghendaki sikap hidup yang berbeza dengan nilai dakwah. Keluarganya ingin ia kekal sebagai keluarga kebanyakan masyarakat yang sekular dengan gaya danstyle nya, sikap dan perilakunya sehingga ia pun mengikuti selera keluarganya.

Ada juga yang tidak tahan kerana tekanan politik yang sangat keras di mana ancaman, kekerasan, hukuman dan penjara sentiasa menghantui dirinya sehingga ia tidak tahan di mana akhirnya ia pun meninggalkan jalan dakwah ini.
Oleh kerana itu, tsabat mesti berlandaskan sikap istiqamah pada petunjuk Allah swt.  Ia mestilah berpegang teguh pada :
  1. Ketaqwaan.
  2. Kebenaran hakiki.
serta tidak mudah dipujuk oleh bisikan nafsu dirinya sehingga dirinya kukuh untuk memegang janji dan komitmen pada nilai-nilai kesucian.

Ia tidak memiliki keinginan sedikitpun untuk menyimpang lalu mengikuti kecenderungan yang hina dan tipu muslihat syaitan yang durjana. Sikap ini mesti terus diperkemaskan dengan taujihat dan tarbawiyah sehingga tetap bersemayam dalam sanubari yang paling dalam. Dengan bekalan itu seorang aktivis dakwah dapat bertahan untuk berada di jalan dakwah ini.

Melalui sikap teguh ini :
  1. Perjalanan panjang akan menjadi pendek.
  2. Perjalanan yang penuh onak dan duri tidak menjadi hambatan untuk meneruskan langkah-langkah panjangnya.
Bahkan ia dapat melihat kepentingan sikap tsabat dalam dakwah.
Adapun kepentingan tsabat dalam memikul amanah dakwah ini di antaranya :

PERTAMA : BUKTI JALAN HIDUP YANG BENAR

Jalan hidup ini sangat berbagai bentuk :
  1. Ada jalan yang baik ada pula yang buruk.
  2. Ada yang menyenangkan ada pula yang menyusahkan.
Sikap tsabat menjadi bukti siapa yang benar jalan hidupnya. Mereka berani menghadapi jalan hidup bagaimana keadaan sekalipun selama jalan itu menghantarkan pada kemuliaan meskipun perlu merasakan kepahitan atau kesusahan.

Sikap tsabat ini melahirkan keberanian menghadapi realiti hidup. Ia pantang menyesali keadaan dirinya apalagi menyalahkan keadaan. Ia tidak serik atau berputus asa kerana berbagai persoalan yang mengelilinginya.

Malah ia mampu mengendalikan permasalahan dan menemui harapan besar untuk ia raih. Amatlah munasabah perintah Allah swt pada orang yang beriman tatkala menghadapi musuh agar menguatkan jiwa yang tegar dan konsisten pada keyakinannya.

Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu menghadapi satu pasukan maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung”. (QS Al Anfal : 45).

Oleh yang demikian, mereka yang tsabat di atas jalan dakwah ini menjadi pilihan hidupnya lantaran ia tahu dan berani menerima kenyataan yang memang perlu ia alami serta muncullah sikap kesatria yang gagah berani meniti jalan hidupnya bersama dakwah ini.

Seorang pujangga yang masyhur, Al Bukhturi dalam baris syairnya ia mengungkapkan bahwa jiwa yang berani hidup dengan menghadapi risiko apapun dan tetap teguh berdiri di atas tapak kakinya adalah ‘nafsun tudhi’u wa himmatun tatawaqqadu, (jiwa yang menerangi dan cita-cita yang menyala-nyala’) kerana jiwa yang seperti ini menjadi bukti bahwa ia benar dalam mengharungi bahtera hidupnya.

KEDUA : CERMIN KEPERIBADIAN SESEORANG

Sikap tsabat membuatkan pemiliknya menjadi tenang di mana ketenangan hati menimbulkan kepercayaan. Kepercayaan menjadi modal utama dalam berinteraksi dengan banyak kalangan. Oleh kerana itu, sikap tsabat menjadi cermin keperibadian seorang muslim dan cermin itu berada pada bagaimana sikap dan jiwa seorang mukmin dalam menjalani arah hidupnya dan bagaimana ia menyelesaikan masalah-masalahnya.

Semua orang sangat memerlukan cermin untuk memperbaiki dirinya. Dari cermin, kita dapat mengarahkan sikap salah kepada sikap yang benar. Cermin amat membantu untuk mempermudahkan bagi menemui kelemahan diri sehingga dengan cepat mudah diperbaiki.

Amatlah beruntung bagi diri kita kerana masih ramai orang yang menjual cerminagar kita semakin mudah untuk memperbaiki diri. Oleh kerana itulah, Rasulullah saw meletakkan peranan seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya.

Begitu pula, seorang ulama’, memberi hadiah kepada sahabatnya yang diberi amanah kepimpinan sebuah cermin antik yang besar. Rupa-rupanya hadiah itu membuatkan sahabatnya itu menangis dan menginsafi diri lalu memahami betul bahwa hadiahcermin antik tersebut bukanlah untuk hiasan rumahnya melainkan sebagai usaha nasihat.

Nasihat yang tulus dari ulama’ yang soleh  untuk mengingatkan sahabatnya agar dapat memperbaiki diri dalam memikul amanah kepimpinannya.

Begitu juga, sikap tsabat adalah cermin bagi setiap mukmin kerana tsabat mampu menjadi mesin penggerak jiwa-jiwa yang rapuh di mana ia dapat mengukuhkannya. Tidak sedikit orang yang jiwanya telah mati hidup kembali lantaran mendapatkan tenaga dari sikap tsabat seseorang. Ia bagaikan inspirasi yang mengalirkan udara segar terhadap jiwa yang bingung menghadapi segala kepahitan.

Seorang ulama’ mengingatkan kita :

Berapa ramai orang yang jiwanya mati menjadi hidup dan jiwa yang hidup menjadi layu disebabkan keadaan daya tahan yang dimiliki oleh seseorang.

Maka, di sinilah fungsi dan peranan tsabat’ yang cukup penting.

KETIGA : USAHA UNTUK MENUJU KEMENANGAN DAN KEJAYAAN

Setiap kemenangan dan kejayaan memerlukan sikap tsabat’ dan istiqamah dalam mengharungi aneka ragam bentuk kehidupan. Sudah tentu tidak akan ada kemenangan dan kejayaan secara percuma. Ia hanya akan dapat dicapai apabila kita memiliki pra-syaratnya iaitu sikap tetap istiqamah menjalani kehidupan ini.

Seorang murabbi mengingatkan mutarabbinya dengan mengatakan :

Peliharalah keteguhan hatimu, kerana ia bentengmu yang sesungguhnya. Barang siapa yang memperkukuhkan bentengnya niscaya ia tidak akan goyah oleh badai walau sekencang manapun dan ini menjadi pengamanmu’.

Begitulah nasihat ramai ulama’ kita yang mengingatkan agar kita berusaha secara maksima bagi mengukuhkan kekuatan hati dan keteguhan jiwa agar mendapatkan cita-cita kita.

Begitu juga jika kita meneliti terhadap jalan dakwah. Kegemilangan jalan suci ini hanya dapat diraih dari sikap konsisten terhadap prinsip dakwah ini yang tidak mudah berubah kerana tarikan-tarikan kepentingan yang mengarah pada kecenderungan duniawi.

Tanpa sikap tsabat, seseorang aktivis dakwah itu akan terseret pada putaran kehancuran dan kerugian dunia dan akhirat.

Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami. Dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat hatimu niscaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi demikian benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu siksaan berlipat ganda di dunia ini dan begitu pula siksaan berlipat pula sesudah mati dan kamu tidak akan mendapat seorang penolongpun terhadap Kami”.(QS Al Isra’ : 73 – 75)

Sikap ini menjadi daya tahan terhadap gegaran apapun dan dari sanalah ia mencapai kejayaannya sebagaimana yang diingatkan oelh Rasulullah saw kepada Khabbab bin Al ‘Arats agar tetap bersabar dan berjiwa tegar menghadapi ujian dakwah ini bukan dengan sikap yang tergesa-gesa apalagi dengan sikap yang menginginkan jalan dakwah ini tanpa sebarang halangan dan rintangan.

KEEMPAT : JALAN UNTUK MENCAPAI SASARAN

Untuk mencapai sasaran hidup yang dikehendaki, tidak ada jalan lain kecuali dengan bermodalkan tsabat. Teguh meniti jalan yang sedang dilaluinya, meskipun perlahan-lahan.

Tidak tertarik untuk melencong sedikit pun atau sesekali melainkan mereka lakukan terus-menerus meniti jalannya dengan sikap tetap istiqamah.

Bahkan dalam dunia penglipur lara dikisahkan kura-kura mampu mengalahkan kancil untuk mencapai suatu tempat. Kura-kura meskipun berjalan perlahan-lahan namun akhirnya mampu menghantarkan dirinya pada tempat yang dituju.
Ibnu ‘Athaillah As Sakandary menasihatkan muridnya untuk sentiasa tekun dalam beramal agar meraih harapannya dan tidak cepat merasa letih atau putus asa untuk mendapatkan hasilnya.

‘Barang siapa yang menggali telaga lalu berpindah pada tempat yang lain untuk menggali lagi dan seterusnya berpindah lagi maka selamanya ia tidak akan menemui air dari lubang yang ia gali. Tapi bila kamu telah menggali lubang, galilah terus hingga kamu dapatkan air darinya meskipun amat meletihkan. (Disunting dari ‘Kitab Tajul ‘Arus’)

Oleh yang demikian, ketekunan dan kesabaran menjadi alat bantu untuk mencapai cita-cita dan harapan yang dikehendakinya dan kedua-dua sifat itu adalah merupakan pancaran sikap tsabat seseorang.

Tsabat meliputi beberapa aspek :
Pertama : Teguh terhadap agama Allah swt.

Keteguhan pada masalah ini dengan tidak menanggalkan agama ini dari dirinya walaupun kematian menjadi ancamannya. Ini sebagaimana wasiat yang sentiasa dikumandangkan oleh Khatib Juma’at agar sentiasa menjaga keimanan dan ketaqwaan sehingga mati dalam keadaan muslim.

Ini juga yang menjadi wasiat para Nabi kepada keturunannya.

Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya. Demikian pula Ya’qub. ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu. Maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam”. (QS Al Baqarah : 132)

Wasiat ini untuk menjadi amaran kepada pada kaum muslimin agar tetap memelihara imannya. Jangan mudah tergiur oleh kesenangan dunia lalu :
  1. Mengganti keyakinannya dengan yang lain.
  2. Menjual agamanya dengan harga yang murah.
  3. Menukar prinsip hidupnya dengan tarikan dunia.
  4. Mengganti aqidahnya dengan secebis kariernya.
Kedua : Tetap komited pada agama Allah swt.

Ini berlaku samada dalam ketaatan mahupun ketika menerima kenyataan hidup. Ia tidak mengeluh atas apa yang menimpa dirinya malah tetap tegar menghadapinya. Bangunan komitmennya tidak pernah pudar oleh kenyataan pahit yang dirasakannya. Keluhan dan penyesalan bukanlah sebuah penyelesaiaan malah akan menambah bebanan hidup.

Oleh kerana itu, keteguhan dan kesabaran menjadi modal untuk menghadapi seluruh permasalahannya.
Mereka yang menjaga komitmennya pada ajaran Allah sentiasa memandang bahwa apa sahaja yang diberikanNya adalah sesuatu yang baik bagi dirinya.

Persepsi ini tidak akan membuatkan ia goyah menghadapi pengalaman sepahit atau segetir manapun malah berkemungkinan ia mampu merubahnya menjadi suatu kenangan manis yang patut diabadikan dalam kumpulan album kehidupannya kerana segala pengalaman pahit itu, apabila mampu diatasi dengan sikap tegar maka ia akan menjadi bahan nostalgia yang amat mahal.

Ketiga : Teguh pada prinsip dakwah.

Ia menjadikan prinsip-prinsip dakwah itu sebagai petunjuk-petunjuk jalan dalam memberikan khidmatnya kepada tugas yang agung ini serta mengutamakan dakwah di atas aktiviti lainnya sehingga mampu memberikan sumbangannya di atas jalan ini tanpa kenal erti penat lelah.

Ia sentiasa terkehadapan dalam usaha pembelaan terhadap dakwah walaupun harus menderita kerana sikapnya. Ketenangan dan kegusaran hatinya sentiasa dikaitkan dengan nasib dakwah. Ia tidak akan merasa nyaman apabila dakwah berada dalam ancaman.

Oleh kerana itu, ia berusaha untuk sentiasa berdisiplin pada prinsip dakwah ini kerana ia faham bahwa berubahnya ia dari prinsip ini akan memberi akibat yang merbahaya bagi dakwah dan masa depan umat. Perhatikanlah peristiwa Uhud, Bir Ma’unah dan lainnya di mana peristiwa yang amat memilukan dalam sejarah dakwah tersebut di antaranya disebabkan oleh kurangnya disiplin aktivis dakwah pada prinsip dan petunjuk dakwah.

KELIMA : HARGA DIRI SEORANG AKTIVIS DAKWAH

Ketika ini kita memasuki era di mana halangan dan peluang sama-sama terbuka. Kita mungkin  binasa lantaran tidak tahan menghadapi tentangan atau mungkin berjaya kerana mampu membuka pintu peluang seluas-luasnya.

Oleh kerana itu kita dituntut untuk bersikap tsabat dalam keadaan dan situasi apapun samada  senang atau susah, sempit ataupun lapang. Tidak pernah tergoda oleh bisikan-bisikan kemewahan dan gemerlapan dunia lalu tertarik padanya dan lari dari jalan dakwah.

Tsabat tidak mengenal waktu dan tempat, di mana dan bila sekalipun. Kita tetap mesti menjunjung misi dan visi dakwah kita yang suci ini untuk menyelamatkan umat manusia dari kehinaan dan kemudaratan. Dengan jiwa tsabat inilah aktivis dakwah memiliki harga diri pada pandangan Allah swt mahupun di mata musuh-musuhnya. Melalui sikap ini seorang aktivis dakwah lebih istimewa daripada kebanyakan orang lain dan ia menjadi citra yang tidak ternilai harganya.

Imam Hasan Al Banna menegaskan :

Janganlah kamu merasa rendah diri, lalu kamu samakan dirimu dengan orang lain. Atau kamu tempuh dalam dakwah ini jalan yang bukan jalan kaum mukminin. Atau kamu bandingkan dakwahmu yang cahayanya diambil dari cahaya Allah dan manhajnya diserap dari sunnah RasulNya dengan dakwah-dakwah lainnya yang terbentuk oleh berbagai kepentingan lalu hilang begitu sahaja dengan berlalunya waktu dan terjadinya berbagai peristiwa. Kuncinya adalah Tsabat dalam jalan dakwah ini’.

Kalau begitu, bagaimanakah bangunan tsabat yang kita miliki?

Ya Allah, Engkaulah pemilik hati-hati kami. Engkaulah Tuhan yang membolak balikkan hati-hati, teguhkanlah hati-hati dan jiwa-jiwa kami untuk sentiasa berpegang teguh pada agamaMu dan ketaatan di jalanMu. Berilah kekuatan kepada kami untuk kami tetap ‘tsabat’ di jalanMu sehingga kami menemui antara dua kebaikan samada kemenangan di dunia atau kami gugur di jalanMu untuk mendapatkan syurga dan kenikmatan di sisiMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

Web Designers Pitampura said...

very informative post for me as I am always looking for new content that can help me and my knowledge grow better.

Post a Comment

Santai-santai...


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com